Gelaran "As-Siddiq"
Read More …
Saiyidina Abu Bakar digelar "As-Siddiq" kerana beliau sering membenarkan apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w.
Contoh peribadi Abu Bakar ini adalah sewaktu Nabi s.a.w. melakukan
Israk Mikraj. Apabila diceritakan, kebanyakan manusia tidak mempercayai
kata-kata Nabi s.a.w., walhal sebelum itu mereka telah beriman dan
membenarkan baginda. Beberapa orang dari mereka pergi menemui Abu Bakar.
"Adakah
kamu mempercayai apa yang diceritakan oleh Nabi s.a.w.? Dia mengakui
bahawa dia telah melakukan israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa
semalam!" tanya mereka.
"Adakah dia mengatakan perkara itu?" Abu Bakar pula bertanya.
"Ya," jawab mereka.
"Kalau begitu, pasti dia jujur," jawab Abu Bakar tegas.
"Adakah kamu percaya yang semalam dia telah pergi ke Baitul Maqdis kemudian balik ke Mekah sebelum Subuh?" Mereka bertanya lagi.
"Ya!"
Jawab Abu Bakar. "Saya pasti mempercayainya, malah dalam jarak lebih
jauh dari itu juga saya tetap mempercayainya. Saya percaya pada khabar
langit yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. setiap pagi dan petang!"
Sejak itu, Abu Bakar diberi gelaran As-Siddiq.
Tidak Pernah Minum Khamar
Walau
pada zaman jahiliah, Abu Bakar tetap menjaga martabat dan maruahnya.
Dia telah mengharamkan khamar pada dirinya sebelum Islam
mengharamkannya.
"Orang yang meminum khamar, sesungguhnya dia telah mencemarkan kehormatan dirinya," kata Abu Bakar .
Tidak Pernah Sujud di Hadapan Berhala
Ketika memasuki usia akil baligh, Abu Quhafah
(bapa Abu Bakar) telah membawanya memasuki sebuah ruang yang dipenuhi
berhala. Bapanya mengatakan yang berhala-berhala itu adalah tuhan
mereka.
Abu Bakar lalu mendekati berhala tersebut dan berkata, "Saya sangat lapar. Berikan makanan kepada saya!"
Berhala itu tidak mampu memenuhi permintaanya.
"Saya tidak berpakaian. Berikan baju kepada saya!" Berhala itu tetap tidak dapat memenuhi permintaanya.
Akhirnya
Abu Bakar telah melemparkan sebongkah batu ke arah berhala tersebut,
menyebabkan berhala itu jatuh tersungkur tanpa daya upaya.
Mimpi Abu Bakar
Semasa berada di Syam, Abu Bakar pernah bermimpi. Beliau menceritakan mimpi tersebut kepada seorang pendeta Buhaira.
"Kamu berasal dari mana?" tanya pendeta.
"Mekah," jawab Abu Bakar.
"Suku apa?"
"Quraisy."
"Pekerjaanmu sekarang?"
"Pedagang."
"Sekiranya
ALLAH menjadikan mimpimu kenyataan kelak, sesungguhnya seorang Nabi
akan diutus dari kalangan kaummu. Kamu akan menjadi pembantunya semasa
dia hidup dan penggantinya setelah dia wafat," Buhaira menafsirkan mimpi
Abu Bakar.
Selepas
mendengar penjelasan Buhaira, Abu Bakar menyimpan perbualan antaranya
dengan sang pendeta dengan rapi dan tidak pernah menceritakannnya kepada
seorang pun.
![]() |
Trivia: Berdagang (berniaga) adalah satu pekerjaan yang sangat digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. Selain berdagang, pekerjaan yang dilakukan oleh para nabi adalah menggembala kambing. Ini sebagai latihan untuk para nabi dalam memimpin umat manusia selepas diutus oleh ALLAH. |
Diajak Menyembah Berhala Selepas Memeluk Islam
Penduduk
Mekah menjadi resah apabila Abu Bakar memeluk Islam. Mereka berpakat
untuk memujuk Abu Bakar supaya menyembah tuhan-tuhan mereka. Dalam
kalangan penduduk itu, Thalhah bin Ubaidillah telah dilantik menjadi wakil mereka.
Berikut adalah perbualan antara Thalhah dengan Abu Bakar.
"Wahai Abu Bakar, bangkitlah dan ikutilah aku!"
"Ke mana kamu mahu membawa aku?"
"Aku ingin mengajakmu kembali menyembah tuhan Lata dan Uzza!"
"Beritahulah aku, siapakah Lata itu?"
"Dia adalah anak perempuan ALLAH!"
"Kalau begitu, siapakah ibunya?"
Thalhah
terdiam, tidak dapat menjawab pertanyaan yang akhir itu. Abu Bakar
menoleh ke arah teman-teman Thalhah dan berseru: "Ayuh, mari bantu rakan
kamu ini menjawab soalanku!"
Namun
tiada siapa pun yang dapat menjawab pertanyaan itu. Kesemuanya diam
membisu. Thalhah memandang rakan-rakannya itu lalu berkata kepada Abu
Bakar:
"Bangkitlah,
wahai Abu Bakar! Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan
Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh ALLAH!"
Abu Bakar menyambut tangan Thalhah dan memimpinnya menemui Rasulullah s.a.w.
Peristiwa di Hadapan Kaabah
Abu Bakar sedang duduk di halaman Kaabah sementara Zaid bin Amr bin Nufail sedang berdiri tidak jauh dari beliau. Tiba-tiba datang Ibnu Abi Shalt.
"Apa khabarmu hari ini, wahai pencari kebaikan?" tanya Ibnu Abi Shalt kepada Zaid.
"Saya dalam keadaan baik dan sihat."
"Adakah kamu telah mendapatkannya?"
"Belum."
Ibnu
Abi Shalt bersyair: "Semua agama kelak pada hari kiamat tidak berguna
selain agama Hanifiah yang telah berlalu masanya.." Selesai bersyair,
dia bertanya: "Adakah Nabi yang dinanti-nantikan berasal dari kaum kami
atau kaummu?"
Abu
Bakar tertarik mendengar perbualan tersebut kerana beliau tidak pernah
mendengar tentangnya sebelum ini. Beliau pun beredar menemui Waraqah bin Naufal
yang terkenal mempunyai banyak berita dari langit dan memiliki suara
hati yang tajam. Beliau meminta Waraqah menjelaskan kepadanya tentang
hal yang didengari dalam perbualan tadi.
"Benar
saudaraku," sahut Waraqah bin Naufal. "Kami adalah ahli kitab dan kaum
yang berilmu. Ketahuilah kamu bahawa Nabi yang ditunggu-tunggu akan
datang dari suku Arab yang paling mulia garis keturunannya. Mereka itu
adalah kaummu."
"Wahai bapa saudara, apakah yang akan disampaikan oleh Nabi tersebut?"
"Dia hanya mengatakan apa yang dikatakan kepadanya. Namun dia tidak pernah melakukan aniaya dan tidak pula teraniaya."
Selepas itu, apabila Nabi s.a.w. diutus, Abu Bakar terus beriman dan membenarkan apa yang disampaikan oleh baginda.
Fizikal Abu Bakar as-Siddiq
Saiyiditina Aisyah r.a.
menggambarkan ayahandanya sebagai seorang lelaki yang berkulit putih,
berbadan kurus, dadanya tidak terlalu lebar, belakangnya tidak bongkok,
tulang pinggangnya kecil sehingga tidak dapat menahan kain yang
dipakainya, wajahnya kurus, kedua matanya cengkung, dahinya lebar dan
urat-urat tangannya nampak jelas.
Kedudukan Abu Bakar pada zaman Jahiliah
Abu
Bakar merupaka salah seorang pemimpin Quraisy, dan sekaligus anggota
majlis mesyuarat mereka. Dia disayangi kaumnya kerana sangat memahami
adat istiadat mereka. Selepas masuk Islam, dia mengutamakan ajaran Islam
melebihi adat istiadatnya. - Imam Nawawi
Abu
Bakar merupakan salah seorang dari sepuluh pemimpin Quraisy yang
menjadi teras komunikasi seluruh bangsa Quraisy pada zaman jahiliah dan
juga zaman Islam. Beliau mempunyai kuasa untuk mennguruskan diyat (denda
atas pembunuhan) dan menetapkan hukuman jenayah. - Ibnu Asakir
Keluarga Abu Bakar
![]() |
”Di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah diciptakan-Nya untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendiri—supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kalian rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TQS Surah ar-Rum [30]: 21]. |
Isteri-isteri Abu Bakar
- Abu Bakar telah menikahi Qatilah binti Abdul Uzza dan mendapat dua orang anak iaitu Abdullah dan Asma'. Tidak ada dalil yang mengatakan Qatilah memeluk agama Islam. Dalam satu riwayat, Qatilah pernah menghantar hadiah berisi keju dan minyak samin untuk anaknya Asma' yang berada di Madinah. Namun Asma' telah menolak hadiah ibunya, bahkan dia enggan memasukkannya ke dalam rumahnya. Asma' meminta nasihat Rasulullah s.a.w. tentang hal itu, dan baginda telah bersabda: "Sambunglah tali silaturrahim dengan ibumu!"
- Abu Bakar juga menikahi Ummu Ruman binti 'Amir, yang terus memeluk Islam dan mengikuti Abu Bakar berhijrah ke Madinah. Mereka dikurniakan dua orang anak, Aisyah r.a. dan Abdurrahman.
- Selepas memeluk Islam, Abu Bakar menikahi Asma binti Umais, setelah suaminya gugur di medan perang Mu'tah. Hasil perkahwinan tersebut mereka medapat anak lelaki yang dinamakan Muhammad bin Abu Bakar.
- Abu Bakar juga mengambil Habibah binti Karijah. Dia melahirkan Ummu Kalthum selepas Abu Bakar wafat.
Anak-anak Abu Bakar as-Siddiq
- Abdul Rahman bin Abu Bakar - Anak Abu Bakar yang paling tua. Dia memeluk Islam pada peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Dia termasuk dalam kalangan sahabat Nabi s.a.w. yang sangat terkenal dengan keberaniannya. Dia hampir terbunuh oleh Abu Hurairah dalam Perang Badar. Abdurrahman telah berjaya membunuh Mahkam bin Thufail, salah seorang panglima terbaik Musailimah Al-Kadzdzab dalam Perang Yamamah.
- Abdullah bin Abu Bakar - Dia memeluk Islam pada awal kenabian. Abdullah memiliki peranan penting dalam peristiwa hijrah, di mana dia memberi maklumat yang mengumpulkan berita dari Quraisy pada siang hari kemudian menyampaikan kepada Nabi s.a.w. dan Abu Bakar pada waktu malam di Gua Thur. Selepas pagi, dia kembali berada di kalangan kaum Quraisy. Dalam perang Thaif, Abdullah telah mengalami kecederaan akibat terkena anak panah lalu syahid. Abdullah meninggal dunia ketika ayahandanya menjadi Khalifah.
- Asma' binti Abu Bakar - Mendapat gelaran Dzatun Nithaqain (yang memiliki dua selendang) kerana dia telah memotong selendangnya menjadi dua bahagian untuk membungkus makanan untuk diberikan kepada ayahnya dan Nabi s.a.w. yang bersembunyi di Gua Thur. Dia dinikahi pemuda Quraisy bernama Zubair bin Awwam dan dikurniakan anak bernama Abdullah bin Zubair, anak sahabat pertama yang lahir di Madinah pada waktu pasca-peristiwa Hijrah. Cucu Abu Bakar ini pernah menjadi Khalifah umat Islam dalam waktu yang sangat pendek sebelum dibunuh dan disalib oleh Hajjaj bin Yusuf.
- Aisyah (Ummul Mukminin) binti Abu Bakar - Anak perempuan Abu Bakar as-Siddiq yang dibebaskan oleh ALLAH s.w.t. dari fitnah keji terus dari langit. Isteri yang sangat dikasihi oleh Nabi s.a.w. dan wanita yang paling banyak meriwayatkan hadis Nabi s.a.w. Mempunyai keutamaan yang tidak terbilang.
- Ummu Kalthum binti Abu Bakar - Tidak pernah melihat wajah ayahnya kerana dilahirkan setelah Abu Bakar wafat. Namun Abu Bakar sudah sedia maklum dengannya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau telah memaklumkan kepada Aisyah tentang hal ini.
"Sesungguhnya mereka adalah dua orang saudara lelakimu dan dua orang saudara perempuanmu," kata Abu Bakar menjelang ajalnya.
"Anak perempuanmu adalah Asma' dan saya. Siapakah seorang lagi anak perempuan yang ayah maksudkan?"
"Dia adalah anak yang masih berada dalam perut Kharijah. Ayah mempunyai firasat yang bayi yang bakal dilahirkan adalah anak perempuan."
Ummu Kalthum dinikahi oleh Thalhah bin Ubaidillah yang gugur dalam Perang Jamal.
Peristiwa Ummu Jamil ingin Menyerang Nabi s.a.w.
Abu Bakar sedang duduk bersebelahan Nabi s.a.w., tiba-tiba datang Ummu Jamil isteri Abu Lahab
dengan menggenggam seketul batu. Ummu Jamil memandang dengan tajam
semua hadirin yang berada di situ sehingga ternampak Abu Bakar, namun
dia tidak nampak Nabi s.a.w.
"Abu
Bakar! Di manakah sahabatmu itu? Aku dengar dia telah menghinaku. Kalau
aku menjumpainya, aku akan tutup mulutnya dengan batu ini. Kamu tahukah
di mana dia berada?" tanya Ummu Jamil dengan nada marah, lalu
membacakan syair yang mengejek Nabi s.a.w:
"Dia orang hina yang kami selalu tentang
Perintahnya akan selalu kami abaikan
Dan agamanya sangatlah kami benci!"
Kemudian
Ummu Jamil pun beredar. Abu Bakar berasa agak takut lalu bertanya
kepada Nabi s.a.w.: "Ya Nabi ALLAH! Tidakkah kamu melihatnya dan dia
juga melihatmu?"
"Dia tidak dapat melihatku. ALLAH telah menghalang pandangannya dariku," jawab Nabi s.a.w. dengan tenang.
Pernikahan Nabi s.a.w. dengan Saiditina Aisyah binti Abu Bakar

Pada suatu hari, Khaulah binti Hakim telah pergi ke rumah Abu Bakar dan berkata kepada isterinya.
"Wahai
Ummu Ruman, kebaikan dan keberkatan apakah yang dilimpahkan oleh ALLAH
kepada kamu semua, sehingga Rasulullah mengutusku supaya meminang anak
perempuanmu Aisyah bagi pihaknya?"
Ummu RUman berasa sangat gembira dan bersyukur lalu mengkhabarkan kepada suaminya Abu Bakar.
"Adakah anak aku ini boleh dan layak untuk Rasulullah? Bukankah dia anak perempuan dari saudaranya?" tanya Abu Bakar.
Sabda
Nabi s.a.w: "Wahai Khaulah, khabarkan kepada Abu Bakar bahawa dirinya
hanyalah saudaraku dalam Islam sahaja, dan anak perempuanmu layak untuk
menikahiku!"
Selepas
mendengar penjelasan Nabi s.a.w., Abu Bakar pun mengundang Khaulah
dan Nabi s.a.w. ke rumahnya. Beliau pun menikahkan anaknya Aisyah
dengan Nabi s.a.w. Ketika itu usia Aisyah masih enam tahun.
"Saya Masih Ingat, Rasulullah"
Pada satu hari Nabi s.a.w. bertanya kepada sahabat-sahabatnya.
"Siapakah di antara kamu yang ingat perkataan Qiss bin Saidah di Pasar Ukadz?"
Suasana menjadi hening. Tiada siapa pun yang menjawab soalan Nabi s.a.w. Tiba-tiba Abu Bakar bangun dan bersuara.
"Wahai
Rasulullah! Saya masih ingat. Ketika itu saya berada di pasar tersebut.
Qiss datang dengan menunggang kuda. Kemudian dia berhenti dan dengan
suara yang lantang dia berkata..
'Wahai
umat manusia, dengarlah dan fahamilah dengan saksama! Apabila telah
difahami segeralah kamu manfaatkan! Sesungguhnya orang yang hidup akan
mati. Orang yang sudah mati, masanya telah berlalu, setiap yang akan
datang, segera akan tiba. Sesungguhnya di atas langit ada berita besar
dan di bumi banyak peristiwa yang boleh menjadi pengajaran. Ranjang
tidur yang terukir indah, atap yang tinggi menjulang, galaksi yang
bergerak mengikut putarannya, lautan yang tiada pernah mengering, malam
yang gelap gelita dan langit yang memiliki banyak galaksi bintang!'
Qiss
bersumpah bahawa ALLAH memiliki agama yang lebih dia cintai dari agama
yang kamu semua anuti ini. 'Mengapa saya masih melihat orang pergi,
kemudian tidak kembali? Adakah kerana mereka gembira dengan sebuah
tempat sehingga mereka menetap di sana? Atau kerana tertinggal,
kemudian dia tertidur lena di sana?'
Seterusnya Qiss melantun bait-bait syairnya:
'Dua generasi pertama yang telah
pergi kita boleh mengambil pengajaran dari mereka
Ketika aku saksikan arus kematian mendekati
Tiada cara untuk menghalaunya kembali
Aku saksikan seluruh kaumku menghadapinya
Baik pembesar atau orang biasa, satu persatu
Kini aku menjadi yakin, bahawa tiada cara bagiku
Untuk menghindar dari suratan takdir
seperti yang menimpa semua bangsaku.'
Abu Bakar Menyelamatkan Bilal
Bilal bin Rabah
merupakan seorang yang berhati suci dan sangat sempurna keislamannya.
Beliau merupakan anak kepada Hamamah. Pada suatu hari yang sangat panas,
Bilal telah diheret keluar oleh Umayah bin Khalaf
ke hamparan pasir yang panas di kota Mekah. Umayah kemudian
menelentangkan Bilal dan menghempap tulung rusuk Bilal dengan batu
besar.
Umayah bertindak
sedemikian selepas mengetahui Bilal memeluk Islam. Dia berasa
sangat marah dan mengugut untuk terus menyiksa Bilal hingga mati
sekiranya Bilal tidak mahu berpaling dari ajaran Muhammad s.a.w.
Bilal
sedikit pun tidak menghiraukan ugutan Umayah, sebaliknya menghadapi
seksaan tersebut dengan terus-menerus melafazkan ucapan yang
mengharukan: "Ahad.. Ahad.. Ahad.."
Waraqah
bin Naufal telah melalui kawasan Bilal diseksa dan menyaksikan
kejadian tersebut. Beliau berkata kepada Umayah dan konco-konconya:
"Demi ALLAH, sekiranya kamu bunuh dia dengan cara sebegini, saya akan
menjadikannya sebagai orang yang paling saya sayangi!"
Tidak
lama kemudian Abu Bakar As-Siddiq juga melalui kawasan tersebut. Dia
melihat Bilal diseksa dengan cara yang sangat keji, lalu menghampiri
Umayah yang kejam itu.
"Tidak
takutkah kamu pada ALLAH akan apa yang kamu lakukan pada orang miskin
ini? Sampai bila kamu akan menyiksanya begini?" Tanya Abu Bakar
kepada Umayah.
"Kamu yang merosakkannya. Selamatkan dia kalau kamu mahu!" sahut Umayah.
"Baik..
saya akan lakukan. Saya memiliki hamba yang lebih kuat dan lebih hitam
darinya. Saya akan menyerahkannya kepada kamu sebagai ganti," kata Abu
Bakar.
Umayah
bersetuju dengan tawaran Abu Bakar. Abu Bakar menyerahkan hambanya
sebagai ganti untuk membebaskan Bilal. Setelah memiliki Bilal, Abu Bakar
memerdekakannya.

Abu Bakar Menyelamatkan Hamba Perempuan Bani Mu'mal
Umar Al-Khattab
(ketika ini masih musyrik) mempunyai seorang hamba perempuan yang
selalu diseksa supaya meninggalkan agama Islam. Umar telah memukul
wanita itu terus-menerus sehingga berasa bosan.
"Aku meminta maaf padamu kerana tidak henti-henti memukulmu sehingga bosan," kata Umar.
"Begitu pula yang ALLAH lakukan kepadamu," jawab wanita tersebut.
Selepas kejadian itu, Abu Bakar telah membeli hamba sahaya Umar yang kemudiannya dimerdekakan.
Sumber:
150 Kisah Teladan Abu Bakar As-Siddiq r.a. - Sahabat Karib Rasulullah s. a. w. oleh Ahmad Abdul Aal Al-Tahtawi (Al Hidayah Publication 2010)
Gambar: